Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemandu e-hailing berusia 26 tahun yang terbabit dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di ibu kota, kelmarin, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli yang cedera pada bahagian kepala, dada dan lengan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, Abdul Hayyi ialah pencarum PERKESO bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan layak membuat tuntutan faedah PERKESO.

“Pemuda yang baru mendirikan rumah tangga ini layak mendapat Faedah Hilang Upaya Sementara menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari.

“Malah, Abdul Hayyi layak memohon faedah rawatan perubatan dan rawatan rehabilitasi,

selain tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal sekiranya mengalami hilang upaya kekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sim mengadakan Ziarah Prihatin ke kediaman ibu saudara Abdul Hayyi, sambil menyampaikan sumbangan wakalah dan kotak prihatin PERKESO, semalam.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamaruzzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Sim menzahirkan penghargaan kepada platform penyedia perkhidmatan, Grab Malaysia dan Kementerian Pengangkutan (MOT) atas inisiatif padanan caruman SKSPS menerusi Belanjawan 2024, sekaligus melayakkan pencarum dalam kalangan penggiat sektor gig dilindungi PERKESO.

Katanya, sinergi daripada kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Grab, PERKESO dan MOT menyaksikan pemandu e-hailing yang sentiasa bersabung nyawa mencari nafkah untuk keluarga mendapat perlindungan keselamatan sosial tepat pada masanya.

“Saya juga berhasrat menyantuni waris keluarga Allahyarham Md Rizal Atan, seorang korban mangsa insiden pokok tumbang ini dalam tempoh terdekat.

“Sememangnya jaringan keselamatan sosial ini amat penting, termasuk individu bekerja sendiri kerana malang tidak berbau dan perlindungan ini sekurang-kurangnya berupaya memberi sokongan kewangan kepada pencarum atau waris sekiranya ditimpa bencana,”katanya.

Selasa lalu, sebatang pokok tua di Jalan Sultan Ismail tumbang ketika hujan lebat dan angin kencang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu maut dan dua yang lain cedera.-BH Online