Sorting by

×

Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) telah menandatangani surat hasrat (LOI) bersama dua rakan strategik, Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) dan Universiti Kuala
Lumpur (UniKL).

Kolaborasi inovatif itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Jejak Bakat Anak Tentera (Jebat) YLTAT bagi mendukung usaha kerajaan memantapkan kelestarian pendidikan dan latihan kemahiran.

Ia merangkumi pelbagai bidang seperti sains, sastera, perniagaan, kejuruteraan dan lain-lain secara holistik.

Selain itu, kolaborasi itu juga akan meningkatkan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyediakan latihan industri serta laluan bagi penempatan pekerjaan yang kompetitif.

YLTAT berkata, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk peluang menjalani latihan industri dan penempatan di bawah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA.

Selain itu katanya, GTA akan menaja elaun bulanan seramai 60 ke 80 orang anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih sepanjang tempoh mereka berada di bawah program Protégé.

“GTA juga akan menaja sebahagian elaun bulanan anak-anak warga dan veteran ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran di UniKL melalui usahasama trilateral ini.

“GTA dan UniKL juga akan merangka dan menyelaras Program Industrial Placement and Training bagi pelajar yang terpilih,”katanya dalam satu kenyataan.

Tambah YLTAT, UniKL pula akan menawarkan program asasi melalui UniKL Top Achievers Foundation Scholarship (UTAFS).

“Pengecualian yuran akan diberikan kepada anak-anak warga serta veteran ATM yang layak sebagai program perintis bagi tahun 2024 dan kemasukan adalah pada bulan Julai dan September.

“UniKL juga akan menawarkan peluang pendidikan peringkat diploma, sarjana muda, sijil profesional dan sebagainya kepada anak-anak warga dan veteran ATM serta membantu permohonan pinjaman pendidikan atau biasiswa.

“Sementara itu, YLTAT akan menyediakan calon yang merupakan anak-anak warga dan veteran ATM termasuk pelajar aliran tahfiz secara eksklusif untuk menyambung pengajian di UniKL. Penempatan latihan industri serta penempatan di bawah Protégé di GTA,”katanya.-KOSMO! ONLINE