Industri perfileman tempatan disaran untuk meneroka dan memperluaskan pasaran ke Asia Tenggara yang dilihat mempunyai potensi besar.
Menteri Konunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia berikutan jumlah penduduk di rantau ini adalah sekitar 600 juta, selain mempunyai pasaran tersendiri.
“Sebenarnya salah satu perkara yang saya minta perlu diteliti adalah jumlah penonton sesebuah fikem.
“Bukankah baik sekiranya filem Malaysia dapat ditayangkan di Asia Tenggara.
“Malaysia mempunyai 33 juta rakyat dan yang menonton filem sekitar 10 hingga 12 juta orang.
“Cuba bayangkan filem tempatan dapat bawa ke Asia Tenggara yang jumlah penduduknya 660 juta. Saya rasa ia adalah pasaran yang besar.
“Kita juga ingin menonton filem lain dari rantau Asia Tenggara dan ini mungkin dikatakan Road To Asia Tenggara (ASEAN),” katanya ditemui pada sesi tayangan khas filem Sheriff, di sini, malam ini.
Sehubungan itu, Fahmi meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mengadakan kerjasama startegik bersama rakan sejawat serantau termasuk mengkaji semula Dana Kandungan Digital (DKD) supaya misi tercapai.
“Apa yang kita boleh lakukan di pihak kementerian adalah meneliti semula DKD untuk capai maksud lebih luas iaitu untuk membangunkan identiti dengan tujuan membawa filem ke peringkat Asia Tenggara.
“Kita juga perlu jemput rakan FINAS di Asia Tenggara mengundang penceramah dan pihak pengedar untuk adakan perbincangan supaya usaha serta ikhtiar kerajaan menuju ke arah ASEAN sinema tercapai.
“Harapan saya sebelum hujung tahun kita dapat jumpa sebelum Malaysia menjadi pengerusi ASEAN.
“Saya harap tahun depan kita akan dapat hasilkan perkara positif dan yang baik untuk diketengahkan dalam konteks ASEAN,” kata Fahmi. -BH Online