Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke Majlis Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 12.47 tengah hari disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.null
Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa kira-kira sejam pada majlis itu.
Majlis yang bermula jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu, terdiri daripada seluruh warga JPM dan agensi di bawahnya.
Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sementara itu, JPM dalam kenyataan memaklumkan tujuan utama penganjuran majlis itu adalah untuk memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan muhibah antara warga JPM dengan barisan pengurusan pentadbiran.-BERNAMA