Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan negeri akan meminta laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi membina sebuah loji rawatan air (LRA) di Pulau Banggi, Kudat terutama melibatkan kos yang diperlukan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan Sabah komited untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh penduduk menerusi pembinaan sebuah LRA baharu khusus untuk pulau itu.

Menurut Hajiji kerajaan negeri sentiasa mendengar keluh-kesah daripada penduduk berkaitan masalah bekalan air dihadapi mereka dan sedang mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya mahu dapatkan laporan daripada JANS berapa kos untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk bekalan air dan keperluan asas lain,” katanya dalam kenyataan selepas melawat pulau itu semalam.

Hajiji berkata selain masalah di Pulau Banggi, beliau turut memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Tanjung Kapor dan kawasan lain di seluruh negeri ini.

Hajiji turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Banggi dan Tanjung Kapor, Kudat pada Ahad.

Pada majlis itu beliau menasihati anggota parti Gagasan Rakyat supaya tidak melayan pelbagai tuduhan pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan negeri.

Hajiji juga menyeru pemimpin di semua peringkat supaya bersama-sama menumpukan tugas untuk membela rakyat negeri ini sejajar kehendak rakyat.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak, dan bantuan kerajaan negeri sebanyak RM540,000 kepada 27 ketua isi rumah mangsa kebakaran kampung Tanjung Kapor Hujung.

Beliau juga menyampaikan sumbangan kerajaan sebanyak RM300,000 kepada Gereja Basel Malaysia untuk pembinaan muzium gereja itu di Kudat.– BERNAMA