Kerajaan sedang membuat kajian bagi meminda Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) tahun depan, dengan mengambil kira cabaran yang muncul dalam teknologi hari ini, termasuk aspek berkaitan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini kerana ketika ini ada pihak mengguna teknologi AI bagi tujuan jenayah, contohnya pengantunan kanak-kanak, yang mewujudkan cabaran kepada undang-undang sedia ada.
“Saya tidak nafikan bahawa apa yang kita lakukan pada 2017 lepas mungkin tidak mengambil kira cabaran berkaitan penggunaan AI…sekarang ini, jika saya bercakap dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), salah satu cabaran besar adalah apabila ada pihak yang menjual visual kanak-kanak di ‘dark web‘, dan sekarang tidak perlu lagi, mereka boleh terus ke laman web biasa, terus ke dalam talian.
“Apabila bercakap mengenai antun (grooming) membabitkan AI, satu lagi cabaran adalah mengenai bayaran, mereka bayar menggunakan bitcoin dan matawang kripto, kita tidak boleh kesan siapa yang buat pembayaran untuk kegiatan ini.
“Jadi kita perlu faham segalanya mengenai perkembangan teknologi ini, dan tampil undang-undang yang boleh meliputi cabaran-cabaran yang muncul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program International Symposium on Empowerment of Children’s Commission: Strengthening Rights and Safeguarding Future, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini.
Azalina berkata simposium hari ini bertujuan membuat perbandingan dan belajar dari negara lain mengenai peranan yang dimainkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di negara masing-masing.
“Saya tekankan OCC tak akan bersifat konfrontasi, kita lebih kepada menilai isu undang-undang dalam negara kita dan peranan yang kita nak belajar dari negara lain. Simposium ini adalah langkah pertama untuk kita dengar dan lihat cara mereka (negara lain) dan belajar cara mereka, kelebihan dan kekurangan,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata, kerajaan juga mengkaji keperluan untuk mewujudkan OCC di peringkat negeri bagi memastikan pemantauan yang lebih menyeluruh.
“Sebab isu kanak-kanak ini tak boleh di pusat sahaja, pemantauan juga perlu di peringkat negeri. Bagaimanapun kita nak gerak tidak secara agresif tetapi secara perlahan,” katanya. – BERNAMA