Sorting by

×

Malaysia dan Jepun bertekad memperkukuh kerjasama strategik membabitkan sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuh kerjasama dalam perkongsian maklumat berhubung pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya dan cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal.

Katanya, ia selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara.

Menerusi kerjasama itu, katanya, Malaysia berupaya memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

“Perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka kedua-dua pihak dalam sektor pembinaan dan perbincangan lanjut dalam aspek teknikal di peringkat pegawai akan dilaksanakan.

“Pertemuan ini menjadi kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang sudah dimeterai sejak 65 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, delegasi Kementerian Kerja Raya (KKR) melakukan kunjungan ke pejabat Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Kokuba Konosuke, di Tokyo semalam.

Alexander mengakui teruja dan menghargai persetujuan maklum balas daripada pihak Jepun untuk mempertimbangkan cadangan dan jemputan program antarabangsa anjuran agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan diadakan tahun ini. 

“Dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference pada 24 dan 25 September ini serta International Construction Week pada November. 

“Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada program KKR sempena Ekspo Dunia Osaka 2025.

“MoU ini diharap dapat membuka peluang kepada pemain industri sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang mana Malaysia dan Jepun adalah ahli di dalam CPTPP ini,” katanya.-BH Online