Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial dibatalkan segera. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihak kementerian mengambil maklum dan memandang serius berhubung isu yang berlaku itu.

“Susulan itu, saya sudah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah berkenaan dibatalkan segera.


“Saya turut meminta Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zambry berkata, pada masa sama, setiap agensi dan institusi di bawah KPT diingatkan supaya peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

Katanya, setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan dasar serta pendirian kerajaan.

“Walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, tular di X seorang penceramah warga asing dipercayai menyebarkan naratif pro-Zionis dalam ceramahnya di UM.

Bagaimanapun, akaun X itu @BruceDGilley kemudiannya sudah tidak dapat diakses.-BH Online