Sorting by

×

Qatar masih komited untuk menjadi orang tengah antara Hamas dan Israel untuk mencapai satu gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata pada Selasa, Doha sedang menilai semula peranannya sebagai pengantara tetapi kecewa dengan kenyataan negatif baru-baru ini mengenai peranan Qatar sebagai orang tengah dalam rundingan berkenaan Gaza.

“Qatar komited untuk memainkan peranannya sebagi orang tengah antara Hamas dan Israel. Kami amat kecewa dengan kenyataan sedemikian, terutamanya daripada pegawai Israel yang biasa dengan usaha perantaraan dan kerja-kerja kemanusiaan kami di Gaza.

“Masih awal untuk menyatakan pengunduran Qatar daripada peranan menjadi orang tengah,” katanya dalam satu sidang media.

Al-Ansari berkata, Qatar komited kepada peranan ini dan akan membuat keputusan dalam masa paling sesuai.

Beliau memuji sokongan Turki kepada Qatar selaku pengantara, menekankan Turki ialah satu daripada negara utama rantau ini yang menyokong usaha perantaraan di Gaza.

Mengenai kehadiran Hamas di Qatar, al-Ansari berkata, selagi usaha perantaraan Qatar berterusan, tiada justifikasi untuk menghentikan kehadiran biro politik Hamas di Doha.

Al-Ansari mengulangi pembukaan pejabat Hamas adalah menerusi koordinasi dengan Amerika Syarikat (AS) untuk perantaraan antara kedua-dua pihak.

“Setakat ini tiada perubahan dalam perkara itu,” katanya.

Tentera Israel melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin sejak 7 Okt tahun lepas.

Hampir 34,200 warga Palestin terbunuh dan lebih daripada 77,000 lagi cedera selain daripada kemusnahan kediaman dan infrastruktur berskala besar dan kekurangan bekalan asas yang akut.

Serangan Israel yang kini memasuki hari ke-200 telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut.

Pada masa sama 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu sama ada rosak ataupun musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – BERNAMA