Sorting by

×

Sebanyak 1,802 daripada 2,386 projek pembuatan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) dari tahun 2021 hingga 2023 telah pun memasuki fasa pelaksanaan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pencapaian pada kadar 75.5 peratus itu termasuk 1,597 projek dalam fasa permulaan, manakala 205 projek lagi telah pun memasuki fasa pembinaan bangunan/kemudahan pembuatan, atau pemasangan mesin dan peralatan.

“Sebanyak 551 projek, atau 23.1 peratus lagi masih dalam proses perancangan, melibatkan kenal pasti lokasi serta rundingan bersama pemaju.

“Sementara itu, akan sentiasa ada sebilangan kecil projek yang tidak diteruskan atas beberapa sebab.

“Hanya 33 projek, atau 1.4 peratus tidak dilaksanakan, mungkin disebabkan perubahan strategi syarikat terlibat, berbanding perubahan polisi oleh kerajaan,” katanya sewaktu membentangkan Kad Laporan MITI bagi Suku Pertama 2024 di Menara MITI, di sini hari ini.

Beliau menambah, pelaburan digital negara turut memperlihatkan prestasi memberangsangkan, dengan RM144.7 bilion pelaburan digital telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dari tahun 2021 hingga 2023, melibatkan penciptaan 39,231 peluang pekerjaan.

Jelasnya, pembangunan pusat data membentuk RM114.7 bilion daripada jumlah pelaburan digital yang diluluskan.

“Boleh dikatakan pusat data menyumbang kepada bilangan pembentukan pekerjaan yang kecil, namun apa yang penting ialah mereka menjadi pemboleh kepada ekonomi digital.

“Dengan membawa pusat data ke sini, akan ada kesan limpahan kepada syarikat lain di dalam ekosistem,” ujarnya.

Pada sesi sama, Tengku Zafrul turut memperkenalkan fokus MITI yang diperbaharui, antara lain melibatkan identiti visual baharu dengan empat tiang strategik utama iaitu ekonomi, kelestarian, manusia dan inovasi. – KOSMO! ONLINE