Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sambutan Hari Ulangtahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 yang dijadual diadakan di Pangkalan TLDM Lumut bermula 25 April hingga 5 Mei ini dibatalkan dan akan diganti dengan majlis tahlil serta doa selamat susulan insiden nahas dua helikopter yang mengorbankan 10 mangsa hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata acara terbuka lain seperti Hari Terbuka ARMADA TLDM yang dijadualkan berlangsung antara 3 hingga 5 Mei ini turut dibatalkan.

Beliau berkata, majlis tahlil bagi memperingati 10 mangsa berusia antara 26 hingga 41 tahun yang terkorban dalam insiden itu akan diadakan Jumaat ini atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat TLDM.

“Semua acara dibatalkan, kecuali majlis doa selamat dan tahlil yang akan diadakan Jumaat ini atas perkenan Sultan Selangor yang juga Kapten Kehormat TLDM,” katanya pada sidang media ketika meninjau lokasi nahas itu di Stadium TLDM Lumut, di Pangkalan TLDM itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata, selain 10 anggota TLDM yang maut itu, nahas terbabit turut menyebabkan seorang anggota yang kebetulan berada berdekatan lokasi nahas helikopter Fennec yang terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, cedera akibat terkena serpihan helikopter ketika melakukan aktiviti renang di situ.

Beliau berkata, susulan insiden itu, TLDM akan menubuhkan sebuah jawatankuasa lembaga penyiasat yang akan dibantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) bagi siasatan insiden itu.

Katanya, helikopter jenis HOM M5033 yang terbabit nahas itu adalah helikopter yang perolehannya baru saja diterima TLDM pada 2021, manakala helikopter Fennec M5026 pula adalah pesawat yang diguna pakai TLDM bermula 2003.

Sementara itu, ditanya sama ada formasi yang sedang cuba dilakukan dua helikopter yang terbabit nahas itu diikuti, Mohamed Khalid berkata, jawapan mengenainya hanya akan diperoleh sesudah siasatan selesai dijalankan.

“Sensitiviti dan ahli keluarga mangsa perlu dijaga serta dihormati. Perkara seumpama ini biarlah benar-benar dilakukan siasatan terlebih dulu, jika kita main andaian saja, nanti banyak pihak lain pun membuat andaian,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM bukan saja membantu menguruskan jenazah mangsa, tetapi juga akan melihat segala manfaat dan faedah yang sememangnya wajar diterima balu serta keluarga mangsa.

Katanya, ia termasuk bantuan penerbangan untuk membawa pulang jenazah mangsa yang bertugas di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu, Sabah memandangkan pihaknya difahamkan jenazah akan dikebumikan mengikut perancangan ditetapkan waris dan keluarga masing-masing di sana.

“Kita juga membantu membawa pulang sebab satu helikopter iaitu jenis HOM datang dari Kota Kinabalu dan helikopter berkenaan sememangnya diterbangkan ke Lumut bagi tujuan sempena upacara sambutan Hari Ulangtahun TLDM ke-90 nanti.

“Sebanyak tujuh helikopter terbabit dalam upacara latihan raptai sempena sambutan itu yang pada hari ini memasuki hari keempat latihan. Saya juga dimaklumkan helikopter Fennec sudah memasuki kali ketiga raptai, manakala helikopter HOM baru kali pertama sertai raptai,” katanya.-BH Online