Sorting by

×

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada mereka.

Selain menerima ugutan, ada antara pengusaha stesen minyak terbabit didatangi gengster serta samseng.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan berhubung perkara itu termasuk yang diberikan kepadanya sendiri selain diterima daripada syarikat pembekal minyak.

“Ada pengusaha stesen minyak, sampai ke tahap mereka diugut sindiket tertentu. Modus operandi mereka amat kemas, difahamkan ada yang datang bersama gengster, samseng dan sebagainya.

“Jadi kita tengah kumpul maklumat, termasuk bekerjasama dengan polis dan syarikat pembekal minyak. Kita mahu menghalang perkara ini daripada terus menjadi sistemik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Armizan berkata, ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak tidak berani melaporkan kejadian terbabit kerana bimbang dengan keselamatan diri, pekerja dan premis mereka.

Tegasnya, perkara terbabit tidak boleh diteruskan berlaku dan itu antara sebab kerajaan melaksanakan subsidi secara bersasar bagi membendung penyeludupan serta ketirisan.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku dan ini antara aspek pengurusan risiko yang kita ingin laksanakan melalui subsidi secara bersasar.

“Jadi dari segi tanggungjawab syarikat stesen minyak itu, mereka akan bebas daripada risiko dan menghalang sindiket tertentu yang membeli diesel ini pada kadar subsidi untuk dijual kepada industri dan menyeludup ke luar sempadan kita,” katanya.

Beliau berkata, KPDN akan terus menjalankan penguatkuasaan yang lebih agresif bagi menangani kegiatan ketirisan dan penyeludupan.

“Saya ingin menyebutkan hari ini, memang kita melaksanakan penguatkuasaan yang agresif tetapi kita perlu memastikan wujudnya ekosistem yang kondusif,” katanya.-BH Online