Sorting by

×

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memantau enam kawasan maritim Malaysia merangkumi Selat Melaka, Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu untuk mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang negara lain.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata rondaan 24 jam tujuh hari seminggu itu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.

“Atas sebab itulah kita kena faham, kita kena hargai inilah peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Walaupun ada orang ingat tak ada perang mengapa (Kementerian Pertahanan) dapat macam-macam. Mengapa dapat bajet besar. Sebabnya setiap masa jaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Maknanya kalau mereka (tentera) tak ada, akan jadi macam Pulau Batu Putih, kedaulatan kita habis,” katanya selepas melawat tapak Perumahan Projek SASaR (Satu Anggota Satu Rumah) di Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya kehadiran sebuah kapal Pengawal Pantai China yang menghampiri bot nelayan Malaysia berhampiran Terumbu Sahap, Sarawak di South Luconia Shoals, dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, katanya, kawasan Laut China Selatan kawasan yang bebas dilalui sesiapa sahaja tetapi kapal negara asing yang menurunkan sauh, boleh dianggap sebagai pencerobohan.

Katanya, jika itu berlaku, pihak keselamatan akan melaporkan kepada Wisma Putra untuk tindakan lanjut.

“Perlu ingat laluan Laut Cina Selatan bebas dilalui mana-mana kapal. Jangan kerana mereka lalu kita kata mereka ceroboh, tetapi kalau dia menurunkan sauh itu soal lain. 

“Kita tidak nafikan bahawa kapal-kapal daripada negara asing ada (di Laut Cina Selatan) kerana mahu menuntut kawasan itu. Kita juga mesti hadir di sana setiap masa kerana kita juga mahu memberitahu ini kawasan kita.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa ketika ini pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 850-11 ) yang menyertai misi United Nations Interim Force In Labenon (Unifil) di Beirut, Lubnan berada dalam keadaan selamat.

“Masa penghantaran maklumkan memastikan soal keselamatan dapat dijaga dipelihara lebih-lagi keadaan sedia maklum (perang Israel-Paelstin dan serangan Iran terhadap Israel), saya percaya soal keselamatan itu dipertingkatkan,” katanya.-BH Online