Sorting by

×

Ibu bapa boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sekiranya terdapat pihak sekolah mengadakan aktiviti luar bilik darjah ketika fenomena El Nino dan keadaan cuaca panas mencapai tahap melebihi 35 darjah Celsius.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah mengeluarkan garis panduan iaitu sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan, sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

“Garis panduan itu harus diikuti dan dalam masa sama juga kita merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.

“Ia bertujuan untuk mendapatkan pedoman berkaitan isu cuaca (El Nino) ini. Garis panduan itu memang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah.

“Bagaimanapun, sekiranya ada aduan rasmi daripada ibu bapa, saya mohon untuk dipanjangkan kepada SISPAA bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kem Generasi Madani Peringkat Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kebangsaan 2024, di Klana Resort, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau mengulas kemunculan maklumat di laman sosial, rungutan ibu bapa yang mendakwa ada sekolah di Terengganu merancang untuk mengadakan aktiviti merentas desa pada minggu ini.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengingatkan semua sekolah supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti luar bilik darjah pada musim panas.

Menurut Fadhlina, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa berkaitan perkara berkenaan.

“Kita alu-alukan sebarang aduan dan akan menjalankan siasatan sama ada ia berasas atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa KPM tidak mempunyai halangan untuk terus menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini berterusan.

“KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan pelajar,” katanya.

Mengenai program berkenaan, Fadhlina berkata, kem berkenaan bertujuan melahirkan pemimpin pelajar yang mempunyai identiti nasional berkonsepkan Malaysia MADANI.

“Kem ini ada beberapa pengisian penting bagi membentuk kepemimpinan yang baik dalam kalangan generasi muda selain dilatih dalam aspek patriotisme dan khidmat masyarakat,” katanya.

Seramai 256 pelajar daripada 61 SMKA seluruh Malaysia menyertai kem berkenaan yang berlangsung selama tiga hari.-BH Online