Tiada sekolah kurang murid (SKM) ditutup tahun ini walaupun ada 3,038 sekolah kategori itu di seluruh negara yang mempunyai murid kurang 150 orang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata walaupun sekolah terbabit diklasifikasikan sebagai SKM, namun Kementerian Pendidikan (KPM) tetap memberi perhatian dan peruntukan sewajarnya bagi memastikan kejayaan murid.
Beliau berkata, terdapat 419 sekolah kategori SKM di Perak yang menerima peruntukan sama seperti sekolah lain.
“Sebagai contoh di Perak, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah memberikan peruntukan RM38,000 kepada semua sekolah kerajaan tanpa mengira bilangan murid pada tahun ini.
null
“Ini membuktikan JPN dan KPM memang memberikan perhatian dan pertimbangan sama rata kepada semua sekolah,” katanya kepada selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dekat Ulu Bernam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong serta Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.
Terdahulu, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping itu melawat dan menyerahkan peruntukan RM50,000 kepada enam sekolah dalam kawasan Parlimen Teluk Intan untuk menambah baik kemudahan sedia ada serta untuk kerja penyelenggaraan.
Enam sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bernam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Bernam, SJKT Ladang Sungai Samak, SJKT Ladang Ulu Bernam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Min 1 dan SJKC San Min 2.
Kah Woh berkata, KPM merangka empat strategi menangani isu SKM berlandaskan inisiatif Pelaksanaan Pelan Hala Tuju SKM yang antara lain membabitkan pendekatan kelas bercantum.
“Bagi sekolah yang bilangan murid kurang 30 orang, kelas murid Tahun Dua digabungkan dengan Tahun Tiga, manakala Tahun Empat digabungkan dengan Tahun Lima
“Kelas murid Tahun Enam pula tidak terbabit dengan kelas bercantum ini,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini juga terdapat beberapa sekolah kategori SKM sudah dipindahkan ke lokasi atau bangunan baharu seperti diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Parlimen sebelum ini.-BH Online