Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, terutama kaum India.

Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan adalah untuk menoktahkan kemiskinan.

Katanya, di bawah Kerajaan Madani, pelbagai program dirangka bagi membantu komuniti India.

“Siapa yang dapat faedah banyak? Orang miskin… kebetulan dari segi jumlah, orang Melayu, tetapi dari segi nisbah, di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, nisbah paling banyak mendapat manfaat ialah masyarakat India.

“Kalau saya tidak lakukan apa-apa untuk membantu masyarakat India, anda ada hak untuk menikam. Saya tak peduli, tokey India, Melayu atau Cina berjaya atau tidak. Saya peduli tentang majoriti di bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Antarabangsa dan Majlis Sambutan Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 tahun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Anwar berkata, di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang, kerajaan berjaya menyelesaikan hampir keseluruhan masalah kemiskinan tegar, tanpa mengira kaum.

Katanya, masalah kedua yang berjaya diselesaikan oleh kerajaan adalah membabitkan sekolah.

“Kita nak bangunkan semua sekolah sekali gus, tak mungkin. Jadi apa yang kita lakukan adalah keputusan untuk membina, membantu, memperbaiki tandas sekolah daif tanpa pengecualian.

“Kita lakukan dan berjaya habiskan 100 peratus membabitkan Sekolah Tamil,” katanya. 

Anwar turut menegaskan bahawa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bukanlah satu-satunya medium bagi menaik taraf hidup masyarakat India.

“Kerajaan Madani turut memberi tumpuan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang memberikan bantuan kepada masyarakat India di seluruh negara,” katanya.-BH Online