Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 146 daripada 406 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh Januari hingga Mac lalu adalah penjawat awam membabitkan golongan pengurusan tertinggi, bahagian pengurusan dan profesional dan petugas sokongan.

Sumber SPRM berkata, mereka yang ditahan kerana terbabit kegiatan rasuah itu ialah seorang penjawat awam memegang jawatan pengurusan tertinggi, 50 kakitangan pengurusan dan profesional dan 95 petugas sokongan.

“Baki 260 individu yang ditahan dalam tempoh tiga bulan itu membabitkan orang awam, pekerja swasta dan lain-lain kategori,” katanya.

Jumlah keseluruhan 406 individu ditahan SPRM bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan berbanding 397 orang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, peningkatan itu menunjukkan angka yang mencemaskan sedangkan banyak kempen antirasuah dijalankan bagi membendung kegiatan tidak bermoral berkenaan.

“Walaupun pelbagai kempen antirasuah dibuat, apa yang berlaku jelas menunjukkan kita memerlukan pendekatan yang lebih holistik dan berterusan. 

“Jadi, perlu ada penekanan lebih besar kepada usaha pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan penyelidikan mendalam untuk mengenal pasti punca terkini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, agensi bertanggung jawab perlu menambah baik dan memperketatkan lagi kawalan terhadap sektor berisiko tinggi.

Katanya, masalah ekonomi dan kesempitan hidup juga antara faktor utama peningkatan kes rasuah dalam negara.

“Selain itu, kelemahan kepemimpinan dan penyampaian dalam jentera atau agensi kerajaan dilihat kurang berkesan mengakibatkan kejatuhan moral serta integriti dalam kalangan penjawat awam.

“Jadi, keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan perlu dikaji semula terutama membabitkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilihat mampu memberi ruang dan peluang berlakunya rasuah.

“Kajian semula terhadap keberkesanan penempatan pegawai SPRM di jabatan kerajaan juga penting dan kita percaya kesungguhan kerajaan sekarang memerangi rasuah serta kerja keras pihak SPRM menjadi faktor penting dalam usaha memperbaiki keadaan ini,” katanya.-BH Online