Sorting by

×

Pakatan Harapan (PH) belum menetapkan tarikh untuk menentukan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemimpin PH belum mengadakan perbincangan berhubung calon bagi PRK itu yang dijadual pada 11 Mei ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika ditanya sama ada PH sudah mengenal pasti calon bagi PRK Kuala Kubu Bharu.

“Saya datang ke sini untuk solat (Jumaat) dan Hari Raya.

“Saya belum berbincang dengan sesiapa mengenainya,” katanya pada majlis Jamuan Hari Raya dan Solat Jumaat di Masjid Bandar Utama Batang Kali di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, Kee Hiong menewaskan Perikatan Nasional (PN), Henry Teoh Kien Hong (PN) dengan dengan majoriti 4,119 undi

Turut bertanding calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendapat 527 undi.

Kee Hiong, 58, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.

Pada 4 April lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pengundi DUN Kuala Kubu Bharu membabitkan 46 peratus Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus) dengan 40,226 pemilih berdaftar termasuk 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi di luar negara.

Sementara itu, hampir 500 tetamu hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di halaman masjid.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan tetamu.-BH Online