Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza, lebih-lebih lagi ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, berkata tindakan kejam rejim itu jelas menunjukkan kebencian, sekali gus bertentangan dengan simbol sambutan Aidilfitri, iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan dan belas kasihan.

“Malaysia akan terus teguh menentang tindakan keganasan dan genosid yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Serangan ini juga tentunya akan menjejaskan rundingan gencatan senjata serta usaha mencari penyelesaian damai terhadap konflik ini, dan mempersoalkan niat Israel, jika ada, untuk mencari penyelesaian damai terhadap konflik ini,” katanya.

Wisma Putra menegaskan komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan kekejaman itu berterusan, kerana lebih banyak nyawa akan terkorban disebabkan rejim yang tidak mempunyai rasa keadilan, kemanusiaan atau moral.

Katanya, masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman serta bencana manusia di Gaza, sekali gus memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas atas jenayah perang dan kemanusiaan itu.

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus memenuhi tanggungjawab mereka.

“UNSC perlu mempertimbangkan penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa untuk mendakwa dan membawa ke muka pengadilan mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas jenayah sedemikian,” katanya.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, Malaysia tetap teguh dalam usaha mencapai penyelesaian damai kepada konflik berpanjangan lebih 75 tahun yang sudah meragut banyak nyawa itu.

“Dengan tegas, Malaysia mempertahankan prinsip bahawa rakyat Palestin layak mencapai penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan pra 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” kata.-BH Online