Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PKR menubuhkan Sekretariat Pejabat Presiden dianggotai lima pemimpin kanan parti berkenaan, antara lain bertanggungjawab memartabat dan memperkasakan organisasi politik itu.

Datuk Romli Ishak dilantik dilantik sebagai Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden (Koordinator); Onn Abu Bakar, Sim Tze Tzin dan Manivanan Gowin sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden, manakala Juwairiya Zulkifli sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden (Setiausaha).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sekretariat itu antara lain diamanahkan untuk memartabat dan memperkasakan parti.

“Juga untuk membantu dan menyelaras pergerakan di semua peringkat Keadilan serta memantau aktiviti dan gerak kerja di semua peringkat Keadilan.

“Sekretariat Pejabat Presiden juga diamanahkan untuk menyemak perlembagaan parti untuk mengisbatkan hala tuju dan masa depan Keadilan serta memberi pandangan dan cadangan dalam isu-isu semasa yang berbangkit dalam politik negara,” katanya. 

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta pimpinan dan anggota PKR berganding bahu dalam menggalas tanggungjawab untuk mendukung aspirasi parti demi menjuarai hak dan kebajikan rakyat demi masa depan negara.-BH Online