Mana-mana kelompok majoriti atau minoriti, kaum, agama atau kepercayaan atas apa alasan sekalipun di negara ini tidak boleh disisihkan dan dimusuhi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini memerlukan kekuatan semua pihak, bahkan semua wilayah dan kaum melonjakkannya ke tahap yang terbaik dan bermaruah.
Menurutnya, berdasarkan firman Allah surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud, ‘wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai kaum dan suku kabilah supaya kamu saling berkenalan antara satu sama lain’.
“Kerangka pembinaan bangsa ini tidak diberikan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama persekutuan, meningkatkan pelaksanaan syariah di negara kita. Malah kita harus tegas, pasti dan tidak kelihatan bertolak ansur dalam kesungguhan kita memupuk nilai dan membina negara yang bermaruah.
“Namun jangan kita anggap ini sebagai suatu sijil, peluang untuk meremehkan, menghina atau merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain.
“Inilah perimbangan, keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri Mubarak ini,” katanya menerusi perutusan Aidilfitri secara langsung di televisyen hari ini.
Beliau berkata, dalam pentadbiran kerajaan hari ini, pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam mesti ditimba supaya menghindar yang mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.
“Kita tidak menuntut semata-mata, perakuan dan kepujian, malah teguran dan kritikan yang membina juga amat diperlukan dalam negara.
“Negara kita harus memupuk nilai-nilai supaya karamah insaniah diperteguh. Sementelahan negara yang kita warisi ini. Banyak perlu diperbaiki dan memaknai maksud peringkat tertinggi Ramadan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, tradisi sambutan Aidilfitri di negara ini dengan ucapan ‘maaf zahir dan batin’ berbeza dengan umat Islam di negara lain antaranya Arab dan Afrika.
“Inilah satu Kepulauan Melayu khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak di mana sambutan hari raya, silaturrahim itu diucapkan dengan ‘maaf zahir dan batin’ tidak ada dalam tradisi Arab, tidak di tradisi Afrika, tidak di tradisi umat Islam yang lain.
“Ini tonggak mesej Islam itu sendiri, berjumpa bermaaflah. Kita semua lakukan kesalahan kesilapan. Jangan kita terlalu sombong untuk mengaku bahawa kita sudah sempurna. Ada keterlanjuran, ada kata-kata kesat, ada kemarahan.
“Maka ambillah peluang ini maaf zahir batin dengan keluasan terpancar dari hati nurani. Ini juga yang ingin saya sampaikan kepada seluruh umat Islam, rakan-rakan, masyarakat Malaysia seluruhnya iaitu memohon maaf seandainya ada keterlanjuran kata, ada kesilapan bahasa ataupun yang telah menyentuh perasaan rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya. – KOSMO! ONLINE