Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia perlu terus melabur mengembangkan liputan kesihatan sejagat (UHC) dan mengukuhkan sistem kesihatan bagi mengelak keciciran, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, sistem kesihatan yang mampan dan inklusif bukan saja menjadi jaminan capaian penjagaan kesihatan yang saksama, malah membolehkan setiap individu membuat keputusan mengenai hal ehwal kesihatan mereka.

Katanya, sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia kali ini, Malaysia perlu meneguhkan iltizam untuk menegakkan hak kesihatan untuk semua tanpa mengira status sosioekonomi, lokasi geografi, atau sebarang halangan lain.

“Untuk hidup sihat, setiap individu memerlukan perkhidmatan kesihatan dan sumber yang secukupnya. Masa depan yang lebih cerah dan sihat, sama ada untuk kita atau generasi seterusnya, adalah hak bersama. 

“Oleh itu, ayuh kita berganding bahu untuk memperjuangkan hak ini,” katanya dalam kenyataan bersama wakil Pertubuhan Kesihatan (WHO) untuk Malaysia, Brunei Darussalam, dan Singapura, Dr Rabindra Abeyasinghe, yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut hari ini. Tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini ialah “Kesihatan Saya, Hak Saya.”

Dr Dzulkefly berkata, sempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini juga, amatlah penting melihat prinsip yang penting untuk mencapai kesejahteraan insan iaitu hak untuk hidup sihat.

Seperti juga negara-negara lain, katanya hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang bermutu dan mudah kini menjadi semakin penting.

“Meskipun Malaysia menikmati banyak kemajuan yang ketara dalam hal ini, masih terdapat jurang perbezaan dan rintangan yang perlu ditangani demi merealisasikan hak kesihatan untuk semua,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Dzulkefly berkata, bagi menangani kesenjangan kesihatan dan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi darurat di masa hadapan, hak kesihatan perlu dimartabatkan secara bersama.

“Walaupun pelaksanaan agenda pembaharuan yang terkandung Kertas Putih Kesihatan menjadi kian sukar akibat pemulihan ekonomi pascapandemik, usaha untuk meningkatkan penjagaan kesihatan sejagat dan kesaksamaan kesihatan mampu sekiranya hak kesihatan dinobatkan sebagai teras agenda kita.

“Hak kesihatan merangkumi empat unsur penting yang saling berkait iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penerimaan dan mutu. 

“Walaupun Malaysia sudah mencapai kemajuan yang ketara dalam penawaran penjagaan kesihatan secara sejagat berdasarkan keempat-empat unsur ini, masih banyak yang perlu diikhtiarkan untuk membolehkan rakyat menikmatinya secara saksama.

“Sebagai contoh, Malaysia berjaya menangani kesenjangan capaian penjagaan kesihatan melalui pembangunan infrastruktur terutamanya di kawasan terpencil,” katanya. 

Sementara itu, katanya, pelbagai daya usaha sudah dilaksana seperti membina fasiliti penjagaan kesihatan baharu di kawasan pedalaman. 

“Di samping itu, Malaysia sudah mengagihkan peruntukan dalam bidang teleperubatan dan klinik kesihatan bergerak untuk menyampaikan khidmat kepada penduduk yang sukar mendapat perkhidmatan seperti di kawasan terpencil. 

“Usaha seperti ini berjaya meningkatkan capaian dan mutu penjagaan kesihatan untuk masyarakat pedalaman dan merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya. 

Namun, tegas beliau, masih banyak yang perlu diusahakan untuk merealisasikan penjagaan kesihatan sejagat.

“Malaysia juga sudah melaksanakan program pendidikan kesihatan yang menyeluruh untuk memupuk amalan penjagaan kesihatan berlandaskan pencegahan, serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapat rawatan perubatan awal. 

“Dengan memperkaya setiap individu dengan ilmu dan kemahiran untuk menguruskan kesihatan mereka secara proaktif, Malaysia bukan sahaja dapat menangani kesenjangan kesihatan sedia ada, malah turut membina generasi akan datang yang lebih sihat.-BH Online