Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat konglomerat, Meta Platforms Inc, Isnin ini, bagi membincangkan isu aspek keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya akan membangkitkan bagaimana Meta yang juga syarikat pemilik kepada Facebook, WhatsApp dan Instagram diperalat untuk memesong fakta dan menyebar maklumat berita palsu.

“Sejak semalam kementerian ini mendapati ada siri mesej tersusun, satu tindakan yang dimulakan oleh beberapa watak, beberapa pihak, khususnya di platform Facebook yang membuat tuduhan dangkal dan jahat.

“Mereka menuduh bahawa tahun ini tidak ada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan mesej ini diulang dengan corak sedikit berbeza.

“Jadi Isnin ini, saya dan MCMC serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan Meta dan kita akan bangkitkan bagaimana platform media sosial itu diperalat dan diperguna untuk memesong fakta dan menyebar maklumat serta berita palsu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai sebaran maklumat palsu berkaitan penganjuran tilawah al-Quran, Fahmi berkata, beliau sudah mengarahkan MCMC untuk meneliti dan mengenal pasti semua pihak yang terbabit serta bersekongkol dalam isu berkenaan.

Beliau menegaskan, tindakan bersesuaian dan tegas akan diambil memandangkan ada pihak tertentu cuba memesong fakta.

Dalam pertemuan dengan Meta itu juga, Fahmi berkata, pihaknya akan membangkitkan isu keselamatan dalam talian mengenai kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial.

Katanya, semua platform media sosial ketika ini tidak memberi penegasan melalui mekanisme ketat untuk menghalang kanak-kanak daripada membuka akaun media sosial.

“Jadi ini antara perkara yang memang menjadi topik atau agenda dalam perbincnagan akan diadakan nanti.

“Sekiranya pihak Meta gagal memberi kerjasama, kita ada beberapa tindakan yang sedang dirangka, yang akan kita ambil kemudian,” katanya.-BH Online