Sorting by

×

Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) yang dimajukan NCT Group of Companies (NCT Group) menerima 60 peratus tempahan daripada pelabur tempatan dan luar negara bagi fasa pertama projek berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata fasa pertama NSIP dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion dijangka diserahkan kepada pelabur suku pertama tahun depan.

“Daripada pelabur fasa pertama, NSIP menerima tempahan daripada 95 peratus pelabur tempatan manakala bakinya adalah pelabur asing yang terbabit dalam pelbagai sektor pembuatan termasuk makanan dan minuman (F&B), farmaseutikal serta semikonduktor,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran galeri jualan NSIP di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy.

NSIP terletak di kawasan seluas 296.23 hektar di Sepang dibangunkan dalam tiga fasa.

Taman perindustrian ini bakal menempatkan kilang-kilang yang sedia menggunakan tenaga solar dan sebuah pusat global rendah karbon.

Direka khusus untuk memenuhi keperluan industri teknologi tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor dan logistik pintar, NSIP juga akan mempelopori kaedah pembuatan pintar yang mengguna pakai teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan trend inovatif lain. 

Sebagai Taman Perindustrian Terurus pertama di Malaysia, NSIP menyediakan kemudahan lebih lestari dengan matlamatnya untuk menjadi taman perindustrian sulung yang menghasilkan emisi bersih sifar menjelang 2050, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kerangka perindustrian rendah karbon. 

Projek perintis dengan GDV mencecah RM10 bilion itu adalah sebahagian daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRSS), di mana NSIP akan memperkenalkan tenaga elektrik bersih dan sumber tenaga alternatif mesra alam lain di samping menyediakan infrastruktur yang serba canggih.

Sementara itu, Ngan Choy berkata, NSIP dijangka membawa ramai pelabur berteknologi tinggi sekali gus dapat memberi sumbangan signifikan kepada negeri Selangor.

“NSIP akan menjadi pusat pentadbiran sehenti, menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada badan-badan penting seperti Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat, untuk memudahkan penubuhan syarikat dan menjamin kelancaran perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, NSIP bersedia mencetus revolusi dalam ekosistem perindustrian di Selangor dan Malaysia.

“Kami merombak piawaian perindustrian dengan menetapkan penanda aras kecemerlangan baharu dalam sektor ini sebagai taman perindustrian yang mencatatkan pelepasan bersih sifar.

“Pembangunan NSIP bertujuan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan transformasi demi menjana pertumbuhan dan keuntungan, tanpa mengabaikan keperluan alam sekitar dan masyarakat.

“Malah, kami tidak bertolak ansur terhadap prinsip kelestarian. Hala tuju ini adalah sejajar dengan komitmen korporat kami untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2035,” katanya.-BH Online