Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertahanan melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan tiga program bagi membantu kebajikan ahli keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program ini termasuk bantuan kewangan untuk anak-anak orang kurang upaya (OKU) anggota ATM dan program pendedahan dengan anak syarikat kementerian untuk graduan dalam keluarga ATM.

“Di bawah program ini, Yayasan LTAT memperuntukkan jumlah sumbangan sebanyak RM300,000.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM300 akan diberikan kepada anak-anak kategori OKU daripada warga ATM yang masih bersekolah atau tidak bersekolah dan RM500 diberikan kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam atau swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Pharmaniaga Berhad, yang merupakan anak syarikat di bawah Kementerian Pertahanan, akan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim ATM berjumlah RM22,500.

“Sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan, kementerian akan melancarkan dua program pendedahan bersama dengan dua anak syarikat Kementerian Pertahanan iaitu Pharmaniaga Berhad dan BHPetrol.

“Pertama program Pharmagrad dengan kerjasama Pharmaniaga. Program berkenaan merupakan satu bentuk Latihan Industri yang dikhususkan kepada anak-anak anggota dan veteran ATM,” katanya.

Katanya, anak-anak anggota dan veteran ATM yang merupakan graduan dalam bidang-bidang seperti farmaseutikal, biomedikal, kimia, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan, logistik, teknologi maklumat dan kewangan akan berpeluang menjalani latihan industri selama lapan bulan bersama-sama dengan Pharmaniaga.

“Bermula tahun hadapan, sebanyak 120 tempat akan diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad menerusi Pharmagrad.

“Kedua, Professional Training and Education for Growing Enterprenuers –

Ready To Work atau PROTEGE – RTW dengan kerjasama BHPetrol,” katanya.

Tambah beliau, PROTEGE-RTW berkenaan merupakan satu program yang menggabungkan beberapa rangkaian inisiatif bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan menganggur dan terbuka kepada graduan anak-anak ATM dalam semua bidang.

“PROTEGE-RTW berkenaan akan melibatkan, antara lain, latihan penempatan dan bimbingan bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam tempoh 8-12 bulan.

“BHPetrol akan memperuntukkan 22 tempat setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 66 penempatan,” katanya.