Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu diurus dengan lebih baik dalam memastikan organisasi itu terus kekal relevan pada waktu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tadbir urus FELDA perlu seiring dengan keadaan semasa.

“Tadbir urus FELDA yang baik bukan hanya terhad kepada pengurusan semata-mata tetapi membabitkan seluruh warga FELDA di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Perlis 2024 di FELDA Chuping, di sini hari ini.

Anwar berkata, banyak perubahan yang sudah dilakukan kerajaan dalam kelangsungan FELDA di negara ini.

“Apa tugas kerajaan (terhadap FELDA), banyak perubahan yang sudah kita buat terhadap FELDA di mana dahulunya FELDA ini adalah satu kawasan yang agak gelap gelita tetapi kini ia sudah ditambah baik dengan kemudahan lampu jalan yang banyak.

“Selain itu, kita juga mendengar rintihan orang FELDA seperti mengadakan pusat dialisis di mana jika dahulu terpaksa ke Kangar untuk melakukan proses dialisis tetapi sekarang, pusat dialisis sudah diwujudkan setiap FELDA.

“Ini termasuk kemudahan perumahan di FELDA yang juga kita tambah,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut menyantuni anak yatim dan asnaf dengan menyerahkan sumbangan duit raya.

Turut hadir adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan barisan kepemimpinan kerajaan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dari blok kerajaan dan pembangkang.

Sebelum itu, Perdana Menteri turut menghadiri taklimat Pembangunan Perlis di Kompleks DUN Perlis pada jam 3 petang sebelum melawat Bazar Ramadan MADANI di Persiaran Wawasan, Kangar.-BH Online