Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua ahli dan pemimpin UMNO disarankan tidak berputus asa meneruskan perjuangan parti untuk memakmurkan negara, terutama ketika menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pemimpin dan ahli parti itu juga perlu ikhlas dalam memperjuangkan agenda berkenaan, sama ada memiliki jawatan atau sebaliknya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut berharap isu perbezaan pandangan membabitkan mana-mana pemimpin parti itu dapat diselesaikan secara baik, terutama menuju PRU16.

“Kita mahu kuatkan UMNO tak kira bahagian mana sekali pun, kita terus memperjuangkan agenda sebagai parti untuk memakmurkan negara.

“Kita ada tugas besar lagi tiga tahun (PRU16), setiap ahli perlu memainkan peranan untuk memenangi semua pihak, terutama masyarakat Melayu supaya kembali menyokong UMNO bagi meneruskan perjuangan membina negara ini.

“Setiap tempat yang dikunjungi (pemimpin dan ahli parti) perlu tonjolkan kualiti dan kebolehan pemimpin UMNO di setiap peringkat. Paling penting dalam perjuangan kita tak boleh putus asa.

“Tiada mana-mana pejuang terdahulu yang berputus asa, pejuang yang ikhlas tak kira pegang jawatan atau perlu lepaskannya, tetap terus berjuang,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ihya Ramadan 1445H Kongsi Rezeki Infaq Ramadan anjuran Wanita bersama Pemuda dan Puteri UMNO Cheras di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 penerima terdiri golongan asnaf, orang kurang upaya dan miskin tegar sekitar Parlimen Cheras menerima sumbangan tunai RM250 dan juadah berbuka puasa.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, UMNO tidak pernah mengabaikan perjuangan untuk menjamin kesejahteraan rakyat biarpun hanya menang 26 kerusi Parlimen pada PRU15 dan kecundang pada PRU14.

“Saya melihat daripada luar bagaimana (kelangsungan) UMNO. Masyarakat Melayu tidak boleh lari daripada UMNO, kadang-kadang saya terfikir, orang Melayu dengan UMNO tak boleh dipisahkan.

“Kalahlah UMNO macam mana pun, tetapi tetap terus aktif membela kebajikan masyarakat. Kita berjuang dalam UMNO bukan semata-mata untuk jawatan.

“Kalau dulu UMNO dianggap sukar untuk dijatuhkan, tetapi kini biarpun tak seperti dahulu namun kita tetap membela kebajikan rakyat,” katanya.-BH Online