Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kewangan mengumumkan perluasan skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk membantu mengurangkan kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat serta insiden cukai berganda dalam sektor berkenaan. 

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersetuju supaya pindaan dibuat kepada Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 iaitu Butiran 1(a) berkenaan perkhidmatan logistik dan Butiran 1(b) berkenaan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang digabungkan sebagai satu butiran.

Melalui penggabungan itu, skop kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) diluaskan iaitu penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) kini layak mendapat pengecualian yang lebih luas dengan tidak lagi perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang yang sebelum ini berada di bawah Butiran 1(b).

Sebelum ini, penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) hanya layak mendapat pengecualian cukai ke atas perolehan perkhidmatan yang berada dalam Butiran 1(a) yang sama.

Seterusnya, Kementerian Kewangan berkata, semua perkhidmatan di bawah Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik yang dibekalkan di dalam dan di antara kawasan khas/kawasan ditetapkan atau di antara kawasan khas dengan kawasan ditetapkan atau sebaliknya tidak tertakluk kepada kenaan cukai perkhidmatan kecuali perkhidmatan ejen kastam yang kekal dikenakan cukai perkhidmatan seperti layanan terdahulu. 

Justeru, ia berkata, zon perdagangan dan perindustrian bebas seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Barat di Selangor serta Pelabuhan Pasir Gudang di Johor akan memperoleh manfaat daripada pengecualian itu.

Kementerian Kewangan berkata, pengecualian daripada membayar cukai perkhidmatan ke atas caj perkhidmatan penghantaran laut bagi semua barang yang dihantar menggunakan mod pengangkutan laut, terhad kepada perjalanan/destinasi Semenanjung ke Sabah/ Sarawak/Labuan; Sabah/Sarawak/Labuan ke Semenanjung dan perjalanan di antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kerajaan juga bersetuju supaya pengecualian membayar cukai perkhidmatan diberikan kepada perkhidmatan penyenggaraan yang berkaitan perkhidmatan pembaikan bangunan rumah kediaman; kumpulan wang pelepas (sinking fund) dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman disediakan oleh pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman.

Katanya, ia bermaksud apa-apa perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan di premis kediaman seperti pembaikan bumbung rumah atau apa-apa peralatan dan kelengkapan yang menjadi sebahagian daripada premis kediaman seperti lif, penyaman udara serta sistem pemanas air tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik dan penyenggaraan telah disediakan atas keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa yang sama, memastikan sektor perkhidmatan negara terus berdaya saing. 

“Bagi terus memelihara daya saing negara, kerajaan tidak mengenakan cukai perkhidmatan di kawasan zon bebas cukai,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, penambahbaikan itu dibuat susulan daripada peluasan skop pengecualian cukau perkhidmatan bagi sektor logistik yang diumumkan pada 11 Mac 2024.

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus ke lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang tidak membabitkan rakyat secara langsung. 

Ia tidak membabitkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan.-BH Online