Pasukan petugas dwirangkaian 5G akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan pelaksanaan dwirangkaian berkenaan, termasuk model yang akan diguna pakai.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau sudah meminta supaya pasukan petugas terbabit melaksanakan perbincangan itu.
“Akan ada perbincangan dan saya sudah meminta pasukan petugas 5G untuk bermesyuarat.
“Kita akan berbincang bersama Kementerian Kewangan serta Kementerian Digital dan kami jangka untuk mengadakannya dalam minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Blackberry yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, entiti baharu itu akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui Digital Nasional Bhd (DNB).
Mengenai CCoE BlackBerry, Fahmi berkata, pusat terbabit berupaya membantu merapatkan jurang kepakaran dalam keselamatan siber.
“Kita dapati hari ini serangan siber berlaku setiap saat dan berharap kerjasama dengan Blacberry ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Saya difahamkan BlackBerry akan melengkapkan pusat ini dengan beberapa kurikulum dan awal tahun depan mereka akan mengadakan kursus kepakaran,” katanya.-BH Online