Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN meminta semua pihak bersikap rasional dan tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang, berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata isu yang menjadi satu daripada agenda dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN yang diadakan hari ini, melihat jalan terbaik bagi penyelesaian isu ini ialah memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman yang sewajarnya.

“Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN turut membincangkan isu nasional termasuk mengenai stoking yang tertera nama Allah. Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berpendapat sebarang usaha penghinaan terhadap kesucian Islam sebagai agama rasmi negara satu kesalahan besar dan bertentangan dengan perundangan negara. 

“Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan seumpama ini dan meminta agar pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman ke atas pelakunya, jika terbukti bersalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fahmi berkata, perbuatan menangguk di air yang keruh berhubung isu itu hanya akan merosakkan lagi keadaan. 

Tegasnya, semua tindakan harus berlandaskan undang-undang, bukan didorong emosi dan amarah.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan daripada itu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking terbabit di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dalam mesyuarat itu turut meminta semua pihak menjaga kesucian bulan Ramadan dan menjadikan apa yang berlaku sebagai satu sempadan supaya kes seumpamanya tidak berulang.

“Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN juga berpendapat penghinaan terhadap mana-mana agama juga satu kesalahan dan menyalahi undang-undang. 

“Perbuatan seumpama itu hanya akan merobek keutuhan harmoni dan mahabbah yang menjadi tonggak kehidupan bersama aman damai rakyat Malaysia,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan, mesyuarat itu turut membuat keputusan mengenai beberapa hal berkaitan parti.

Ini termasuk meluluskan penganjuran Konvensyen Khas 25 Tahun KEADILAN yang akan diadakan 28 April depan di Shah Alam.

“Tumpuan konvensyen ini ialah perkongsian hala tuju parti. 

“Mesyuarat juga memutuskan untuk mengadakan Malam Sambutan 25 Tahun KEADILAN pada 11 Mei depan dengan acara kemuncak amanat Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada sebelah malam,” katanya.-BH Online