Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program MySave Food @ Bazar Ramadan yang mula dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diperluas ke semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata program berkenaan bertujuan untuk mengumpulkan lebihan makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan.

“Program ini dimulakan MBSA pada 2021 dan berjaya menyelamatkan kira-kira enam tan makanan tidak terjual dari pembaziran.

“Pada 2021, MBSA mengumpul sekitar 900 kilogram makanan. Ia terus meningkat kepada 2.2 tan pada 2022 dan 2.9 tan pada 2023.

“Pada Ramadan tahun ini, bermula 14 Mac hingga semalam, MBSA mengumpulkan 1.6 tan lebihan makanan yang akan diagihkan kepada kawasan perumahan kos rendah serta Politeknik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program MySave Food @ Bazar Ramadan di Seksyen 19 di sini. 

Yang turut hadir, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dan Datuk Bandar Shah Alam, Cheremi Tarman. 

Mengulas lanjut, Amirudin berkata makanan yang tidak terjual berkenaan dikumpulkan daripada tiga bazar yang besar dan mempunyai lebih 100 gerai iaitu di Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19. 

Katanya, bagi memastikan makanan tersebut selamat untuk dimakan, ia akan mula dikumpulkan pada jam 6.30 petang dan dihantar dalam tempoh dua jam iaitu pada jam 8.30 atau 9 malam. 

“Kita mempunyai sukarelawan dan mereka berpengalaman untuk pastikan makanan tersebut diedarkan dalam tempoh dua jam selepas dikumpul untuk pastikan ia selamat dimakan,” katanya. 

Beliau berkata, makanan berkenaan akan diagihkan kepada wakil penduduk terutamanya di kawasan perumahan kos rendah sebelum ia diagihkan kepada surau, masjid atau rumah ke rumah. 

Katanya, agihan makanan itu sedikit sebanyak membantu golongan yang kurang berkemampuan terutamanya ketika kos sara hidup meningkat. 

“Saya juga sudah meminta Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin untuk kordinat dengan PBT lain bagi melaksanakan program berkenaan dengan menggunakan formula yang sama seperti MBSA. 

“Setakat ini dua PBT sudah menyertai program ini iaitu Majlis Perbandaran Sepang (MPS) serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” katanya.-BH Online