Sorting by

×

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah kedai serbaneka, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan tiada penghinaan terhadap agama khususnya Islam.

“Pandangan saya jelas. Ada laporan dan ketelanjuran, mesti ada tindakan segera. Kemudian, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus.

“Jangan ada penghinaan terhadap agama, apatah lagi Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Seri Perdana, tadi.

Beliau berkata demikian apabila disoal mengenai polemik yang dihadapi oleh sebuah kedai serbaneka apabila tular mengenai penjualan stoking yang tertera di kedai berkenaan.

Pada masa sama, Anwar juga menasihatkan kepada rakyat agak tidak berterusan dengan perbincangan itu seolah-olah ia merupakan malapetaka besar dalam negara.

“Ambil tindakan tegas segera dan kemudian kita harus maju dalam lapangan yang kita mahu terokai,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga mahu agar pemimpin politik tidak bertikam lidah dalam isu berkenaan dengan mengikut pemikiran sempit masing-masing.

Katanya, sesama pimpinan dalam kerangka politik yang bebas dan demokratik, ia tidak boleh diikuti sistem walak.

“Masalah ada dan tindakan diambil serta maju terus. Apa bentuk hukuman pun, jangan hukuman melampau.

“Ada orang lakukan kesalahan, seperti kita juga. Kadang-kadang kecuaian, jadi jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE