Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan memperkenalkan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (e-Dereg) bagi membantu menangani masalah lambakan kenderaan lusuh dan terbiar dalam kawasan perumahan. 

Sistem e-Dereg satu inisiatif terbaru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan pemilik kenderaan motor lusuh dan terbiar membatalkan pendaftaran secara dalam talian (online).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar di kawasan perumahan sudah lama membelenggu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penduduk setempat. 

Sehubungan itu, katanya, sistem e-Dereg menjadi antara cara terbaik menyelesaikan masalah berkenaan tanpa memerlukan pemilik asal kenderaan pergi ke pejabat JPJ untuk proses nyah-daftar kenderaan yang rumit

“Antara perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses bagi melupuskan kenderaan dengan teratur.

“Pihak PBT juga menghadapi cabaran yang sama dalam menguruskan kenderaan terbiar berkenaan. 

“Mengambil kira perkara ini, sistem e-Dereg akan membolehkan mana-mana pemilik asal yang berhasrat melupuskan kenderaan melengkapkan proses pembatalan pendaftaran secara atas talian, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam lawatan beliau ke premis pelupusan kenderaan motor, Car Medic Sdn Bhd di Bandar Teknologi Kajang di sini, hari ini.

Car Medic adalah satu daripada Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai fasiliti yang melupuskan kenderaan secara teratur dan memenuhi semua peraturan ditetapkan jabatan itu dan juga menjadi projek rintis antara kementerian dan JAS. 

Anthony berkata, setakat ini, JAS sudah mengeluarkan lesen kepada 10 syarikat untuk beroperasi sebagai AATF namun buat masa ini hanya dua AATF sudah beroperasi sepenuhnya termasuk Car Medic selain Jaring Metal Industries Sdn Bhd di Shah Alam. 

Katanya, sebagai permulaan, sistem e-Dereg yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan E-Auto Sdn Bhd dilaksanakan dengan pihak AATF berlesen iaitu Car Medic Sdn Bhd. 

Difahamkan, pemilik kenderaan perlu menghubungi Car Medic untuk mengatur temujanji bagi tarikh menunda kenderaan dan pemilik diperlukan hadir ke premis Car Medic untuk proses pembatalan pendaftaran yang menggunakan sistem e-Dereg. 

Anthony berkata, yuran penundaan kenderaan akan ditanggung oleh Car Medic dan pemilik kenderaan juga akan diberikan token pampasan bergantung kepada kondisi dan model kenderaan serta jarak lokasi tunda. 

Mengulas lanjut, Anthony berkata, dengan menggunakan khidmat AATF, pemilik kenderaan akan diberi jaminan bahawa semua proses akan dijalankan mengikut lunas undang-undang. 

“Proses pelupusan kenderaan akan dijalankan dengan teratur dan selamat untuk alam sekitar dan pemilik pula akan dijamin bahawa kenderaan mereka dilupuskan dengan cara betul. 

“Ini juga menjamin kenderaan atau komponen yang dilupuskan itu tidak digunakan untuk kegiatan jenayah atau digunakan semula dengan cara yang salah. Ini kerana kedai besi buruk atau kedai potong tidak ada sistem untuk menyah-daftar kenderaan,” katanya. 

Anthony berkata, selain pemilik asal berdaftar, PBT juga boleh mengadakan program pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar dalam kawasan tanggungjawab masing-masing menggunakan sistem ini.

“Namun, program tersebut masih perlu membabitkan pemilik berdaftar asal bagi tujuan pembatalan kenderaan,” katanya. 

Dalam pada itu, pihaknya meminta lebih ramai pihak yang berminat menjalankan perniagaan dan perkhidmatan pelupusan kenderaan motor untuk memohon lesen AATF dari pihak JAS dan turut boleh diberi akses melalui sistem e-Dereg ini di seluruh negara.-BH Online