Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan lima bidang tumpuan bagi memperkukuhkan lagi hubungan akrab ASEAN dengan Australia yang terjalin sejak 50 tahun lalu, antaranya kerjasama ekonomi menerusi pemerkasaan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

Perdana Menteri berkata, Malaysia melihat potensi besar sokongan daripada Australia untuk memperkasakan ekosistem PMKS ASEAN, terutamanya menerusi transformasi digital, pembinaan kapasiti, akses pasaran, amalan mampan, dan mengupaya penyertaan yang saksama dalam kalangan PMKS.

“Di bawah Protokol Kedua Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, kita sewajarnya mempercepatkan penggunaan dan libat urus perniagaan, terutamanya bagi PMKS.

“Malaysia komited terhadap pembangunan PMKS sebagai pemacu bagi peluang pekerjaan, inovasi dan kedinamikan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi pleno bertajuk: Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC) dekat sini, hari ini.

Sidang kemuncak itu dihadiri oleh semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar, selain tiga negara jemputan iaitu New Zealand, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Anwar berkata, bidang tumpuan kedua bagi mempererat hubungan ASEAN-Australia adalah transisi tenaga, khususnya pada ketika Malaysia mahu mencapai peralihan saksama dalam sektor teknologi, pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Kita sedia bekerjasama dengan Australia ketika ASEAN mahu mempercepatkan perjalanan transisi tenaga. Saya mahu berkongsi bahawa Malaysia akan menjadi hos Forum Pekerjaan Hijau ASEAN tahunan yang pertama di Kuala Lumpur bulan depan, dengan sokongan Australia.

“Inisiatif merentas sektor ini dijangka menyumbang kepada pekerjaan hijau dan pembangunan kemahiran hijau di rantau ini,” katanya.

Bagi memantapkan kesalinghubungan ASEAN-Australia yang juga bidang tumpuan ketiga digariskan oleh negara ini, Perdana Menteri turut berkongsi bahawa Malaysia akan menjadi hos bersama Forum Kesalinghubungan Maritim dengan Australia dan Korea Selatan pada Jun ini.

“Pakar akan berbincang mengenai pendigitalan dan automasi pendigitalan, dengan pandangan untuk terus mengukuhkan lagi kapasiti infrastruktur kita,” katanya.

Beralih kepada bidang pembangunan modal insan, Anwar berkata beliau amat menggalakkan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluaskan dengan memasukkan disiplin baharu seperti teknologi hijau, Revolusi Perindustrian Keempat dan kepintaran buatan.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Malaysia, Australia dan Timor Leste berjaya melaksanakan program pembinaan kapasiti tiga hala pada 2023, bagi memudahcara peralihan Timor Leste kepada keanggotaan penuh ASEAN.

“Pegawai-pegawai kami ketika ini sedang mengadakan perbincangan untuk menjalankan program kedua yang akan dilaksanakan akhir tahun ini,” katanya.-BH Online