Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia menyuarakan enam usaha membabitkan isu Israel-Palestin yang perlu terus diperjuangkan, termasuk gesaan gencatan senjata kekal untuk segera dilaksanakan.

Enam gesaan itu disuarakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, melalui Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, semalam.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan berkenaan keganasan berterusan Israel terhadap penduduk di Gaza dan Wilayah Pendudukan Palestin.

Menerusi kenyataan, Mohamad berkata, Malaysia juga mahu bantuan kemanusiaan terhadap mereka yang memerlukan di Palestin terus disediakan selain menubuhkan mekanisme untuk memastikan perlindungan bagi rakyat Palestin.

“Kita juga menggesa supaya ‘kekebalan’ Israel ditamatkan, selain Israel perlu bertanggungjawab atas jenayah peperangannya terhadap kemanusiaan.

“Menggesa semua negara supaya tidak memberi bantuan kepada Israel yang menafikan hak rakyat Palestin dan pendudukan di wilayah Palestin.

“Usaha ke enam ialah memulakan semula proses keamanan yang membawa kepada penubuhan dan pengiktirafan negara Palestin yang merdeka serta kemasukan Palestin sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Mesyuarat tergempar itu dipengerusikan Menteri Luar Negeri Mauritania, Mohamed Marzouk dan turut dihadiri antaranya Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud dan Menteri Luar Negeri Palestin, Dr Riyadh Al-Maliki.

Pada masa sama, Mohamad berkata, mesyuarat tergempar terbabit juga menerima pakai satu resolusi yang antara lain, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan Israel.

Selain itu, katanya, langkah tertentu juga perlu diambil OIC dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Malaysia menggesa untuk kerjasama antarabangsa tanpa syarat dan akses kemanusiaan tanpa halangan untuk bantuan sampai ke Gaza.

“Dalam pada kami mengumpul sokongan daripada seluruh dunia untuk memberikan bantuan kemanusiaan

kepada Gaza, ia tidak bermakna jika bantuan tidak dapat sampai kepada mereka yang memerlukan kerana

birokrasi dan halangan,” katanya.

Mohamad berkata, dalam mencapai sasaran itu negara OIC perlu terus meningkatkan sokongan daripada masyarakat antarabangsa melalui semangat bersatu-padu, konsisten dan tanpa henti.

“Kerjasama juga perlu dilaksanakan dengan negara di luar OIC yang mempunyai tujuan sama untuk secara berterusan memberikan tekanan kepada Israel,” katanya.-BH Online