Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Beberapa syarikat Australia menyatakan hasrat kepada Malaysia untuk meneruskan pelaburan sebanyak RM24.5 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, hasrat itu dinyatakan kepadanya dalam pertemuan beliau dengan syarikat terbabit hari ini.

Antara pelaburan besar berpotensi adalah oleh AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC (RM3 bilion).

Selain AirTrunk dan NextDC yang kedua-duanya adalah syarikat pengendali pusat data, syarikat lain yang menzahirkan komitmen untuk melabur ialah Lynas (bahan kimia) sebanyak RM1 bilion, Fortescue (tenaga boleh diperbaharui), Macquarie Group (perkhidmatan kewangan) dan Arnott’s Group (teknologi makanan).

“Kita dapat mengadakan pertemuan dengan pengurus utama 20 syarikat besar, termasuk 18 syarikat dan beberapa pengimport utama serta pelabur, jumlah keseluruhan yang memohon keizinan untuk teruskan pelaburan iaitu RM24.5 bilion.

“Ini satu kemajuan membanggakan dan menunjukkan minat Australia serta keyakinan mereka kepada dasar yang kita umumkan selama ini. Ini akan diberi ruang permulaan 1,200 tenaga mahir di Malaysia,” katanya pada sidang media hari kedua lawatan beliau ke Australia hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dari segi perdagangan, kunjungan ke Australia itu juga berjaya menjana potensi jualan eksport Malaysia sebanyak RM962.1 juta, termasuk urea, produk kayu, makanan dan minuman serta komponen elektrik.

“Ini selari dengan pelan perindustrian kita dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR). Jadi saya bersyukur dengan kejayaan yang berhasil dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Luar.

“Kerjasama ini menunjukkan sekiranya kita menumpukan perhatian untuk menggagaskan pelaburan dan tingkatkan pelaburan, kita dapat kemajuan yang boleh kita banggakan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kunjungan ke Australia bukan hanya mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia oleh kedua-dua Perdana Menteri, malah memberi kejelasan kepada beberapa perkara yang belum pasti sebelum ini.

“Ini khususnya usaha untuk menjadikan Australia sebagai negara yang boleh beri kerjasama dalam peralihan tenaga dan transformasi digital, kerana mereka ada kepakaran. Perdana Menteri banyak pandangan yang kukuh bagi pihak negara kita dan ASEAN khususnya berkenaan dengan pendiran Malaysia dan ASEAN dalam penegasan kita terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.

“Australia memandang ASEAN sebagai pintu gerbang negara itu kepada dunia, mereka melihat ASEAN dahulu sebelum dunia lain, ASEAN satu rantau yang amat penting bagi Australia, dan Australia mahu menegaskan kepada Perdana Menteri bahawa hubungan lebih akrab antara rakyat, negara dan negara.

“Semalam, Australia umum A$2 bilion bantuan kepada ASEAN dan beri kelonggaran kepada ahli perniagaan yang kerap ke negara itu akan mendapat visa selama 10 tahun… ini memudahkan perjalanan kedua-dua negara bagi mereka yang menjalankan perniagaan,” katanya.-BH Online