Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia bersama Brazil, India dan Thailand sedang melaksanakan kajian bagi penggunaan semula ubat Nelfinavir untuk rawatan penyakit demam denggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia sedang berada pada peringkat ujian klinikal bagi menguji keberkesanan ubat yang sebelum ini telah digunakan dalam vaksin melawan penyakit Hepatitis C dan ubat untuk rawatan pesakit AIDS.

“Kajian penggunaan semula ubat itu turut membabitkan kerjasama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), iaitu sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan yang sebelum ini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menghasilkan rawatan Hepatitis C.

“Apapun, usaha membangunkan suatu vaksin atau ubat antiviral menuntut satu tempoh masa yang lama bagi memenuhi prosedur tertentu seperti aspek keberkesanan serta keselamatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keterlihatan Penyelidikan Denggi 2024 di Institut Kesihatan Negara (NIH), di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya bagaimanapun yakin ubat antiviral itu boleh digunakan selewat-lewatnya tahun depan memandangkan kajian guna semula Nelfinavir kini berada pada peringkat ketiga daripada empat peringkat sebelum diluluskan.

Beliau juga percaya kolaborasi global bawah nama ‘Dengue Alliance’ yang digerakkan empat negara endemik sejak 2022 itu akan dapat menghasilkan kajian klinikal yang diperlukan dalam usaha membangunkan ubat-ubatan baharu paling berpotensi merawat penyakit berkenaan.

“Kita berharap Dengue Alliance akan dapat mencatat satu lagi kejayaan dan memberi harapan baharu dalam rawatan denggi sebagaimana pencapaian sebelum ini dalam menghasilkan rawatan Hepatitis C,” katanya. – BERNAMA