Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan segala bentuk anasir dan provokasi agama serta perkauman.

Sehubungan itu, katanya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan provokasi berkaitan isu sensitif terutama berkaitan agama dan kaum.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) berhubung tindakan terhadap kenyataan provokatif pemimpin politik termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) di Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak mengehadkan kebebasan media, selagi penggunaan media elektronik tidak melanggar mana-mana peruntukan terutama di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 akta berkenaan.

Malah, katanya, pengamal media di negara ini juga bebas untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak berkepentingan.

“Landskap media di Malaysia tidak tertakluk kepada kaedah penilaian yang berlandaskan media Barat.

“Ini menyebabkan pengamal media sentiasa bertindak mengikut keadaan negara dengan mengambil kira undang-undang sedia ada.

“Komitmen kerajaan (terhadap kebebasan media) diterjemah melalui kedudukan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara dalam Laporan Indeks Kebebasan Media 2023 oleh Reporters Without Borders (RSF),” katanya.

Nie Ching berkata, kerajaan juga sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara seperti termaktub di bawah Fasal 1(a) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini juga menafikan wujudnya dwistandard daripada kerajaan terhadap kandungan media.

“Namun, kebebasan media hendaklah berpandukan kod etika bagi memastikan ia tidak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

“Kod Etika Wartawan Malaysia juga sudah diperkenalkan sebagai garis panduan agensi media, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini rakyat,” katanya.-BH Online