Sorting by

×

Tan Sri Johari Abdul mengingatkan semua anggota Dewan Rakyat menyelesaikan sebarang isu sama ada membabitkan ‘peperangan’ antara parti politik atau permasalahan di media sosial di luar dewan terbabit.

Dalam nada tegas, Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata beliau serta dua Timbalannya, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng tidak akan bertolak ansur dan akan mengenakan tindakan tegas ke atas ahli Dewan Rakyat yang tidak mematuhi Peraturan-peraturan Mesyuarat.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada timbalan saya untuk memastikan masalah Yang Berhormat (YB) yang berlaku di luar Dewan Rakyat, sama ada peperangan antara parti atau apa-apa juga melalui media sosial, selesaikanlah di luar.

“Janganlah mengheret kita semua dalam dewan ini. Mana-mana YB menggunakan platform ini untuk tujuan memperkenakan kawan-kawan, saya dah pastikan kita akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika sesi pemasyhuran sebelum memulakan Sesi Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini..

Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat untuk sentiasa mematuhi peraturan sepanjang persidangan berlangsung.

Beliau berkata, ia selaras Titah Diraja disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, semalam.

Semalam, Sultan Ibrahim dalam titah sulung merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 menyentuh pelbagai isu, termasuk teguran kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, Johari berharap semua ahli Dewan Rakyat dapat merealisasikan lima prinsip Rukun Negara yang dilafazkan ketika permulaan sesi persidangan berkenaan.

“Kita baru sahaja sebentar tadi, berikrar untuk mencapai lima prinsip Rukun Negara. Saya berharap YB dapat berusaha mencapai prinsip berkenaan.

“YB hendaklah menunjukkan contoh baik kepada rakyat sepanjang berada dalam dewan ini kerana kita semua disaksikan rakyat melalui pelbagai platform, selain sentiasa mempamerkan kematangan semasa berucap atau berbahas, termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti diikrarkan tadi,” katanya.

Pada sesi sama, Johari turut memperingatkan beberapa peruntukan dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu sentiasa dipatuhi Ahli Parlimen.

Antaranya Peraturan 36(8) yang membataskan perbincangan mengenai kelakukan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri atau beberapa kategori jawatan lain.

Peraturan 36(7) yang memperuntukkan nama Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh digunakan untuk mempengaruh majlis mesyuarat, serta Peraturan 36(10)(c) yang menetapkan kesalahan pada peraturan menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan bersakit-sakit atau bermusuh-musuhan antara kaum dalam masyarakat di Malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Hasutan 1948.-BH Online