Penggunaan rangkaian 5G di Malaysia berada di landasan tepat, apabila kadarnya sudah mencecah 29.9 peratus atau hampir 10.07 juta pelanggan pada 31 Januari 2024.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, peningkatan kadar berkenaan adalah signifikan, berbanding hanya 12.5 peratus penggunaan pada November tahun lalu.
Justeru, menurut Fahmi lagi, walaupun ramai pihak meragui usaha kementeriannya, yang menyasarkan penggunaan talian 5G yang meluas di Malaysia, ia membuktikan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi berjaya.
“Jujur saya katakan, dari awal lagi, ramai yang meragui adakah kami akan berjaya untuk lakukakannya (teknologi 5G).
“Tapi kami telah membuktikan mereka salah, ia membuktikan kita negara, masa depan kita berada di jalan dan landasan yang betul,” tambahnya lag
Justeru, kata Fahmi, ketika menghadiri program MAXIS 5G-Advance Trial Showcase Kuala Lumpur, rakyat Malaysia berhak mendapatkan internet yang pantas, murah dan dipercayai.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi dan kerajaan perlu lebih fokus untuk meningkatkan teknologi serta memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.
Fahmi sebelum ini dilaporkan akan berkongsi mengenai pencapaian Malaysia menerajui pelaksanaan rangkaian 5G negara pada ucaptamanya di Mobile World Congress Barcelona (MWC 2024), Sepanyol pada 26 Feb hingga 2 Mac ini.
Beliau telah menerima jemputan khas daripada GSMA untuk menyampaikan ucaptama di MWC 2024.
MWC 2024 yang akan dihadiri, merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa, Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang bakal mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.-Astro Awani