Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penjawat awam diseru memegang nilai H.E.M.A.T, yang merujuk kepada kewaspadaan dalam tindakan serta ketelitian dalam pelaksanaan segala tugas yang diamanahkan, sebagai panduan dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu kepada rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata dari sudut tafsiran, H.E.M.A.T membawa dua maksud iaitu sikap penjawat awam dalam membelanjakan dana awam secara berjimat-cermat dan tidak boros.

Dari segi sifat pula, beliau berkata H.E.M.A.T ialah cara penjawat awam menjalankan tugas dengan pengamatan dan penelitian secara mendalam.

“Dalam tempoh lebih sebulan saya berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya banyak membuat pemerhatian untuk memahami fungsi, peranan dan bidang tugas JPA. Berdasarkan penelitian saya, sudah tiba masanya penjawat awam memerlukan suatu nilai baharu sebagai pegangan dan panduan, dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam majlis amanat bersama warga JPA, di sini hari ini.-Harian Metro Online