Sorting by

×

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat setakat ini tidak menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, untuk sidang Parlimen akan datang.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kepada BH, hari ini.

“Tiada setakat ini,” katanya ringkas.

Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (2024) akan berlangsung mulai 26 Februari hingga 27 Mac ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Kontroversi mengenai sokongan terhadap Anwar mula bertiup kencang susulan tulisan seorang penulis blog yang mendakwa pembangkang berjaya memperoleh sekitar 120 akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Syed Abu Hussin turut mendakwa 10 lagi Ahli Parlimen BERSATU bakal menyusul membabitkan lima Ahli Parlimen dari kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta tiga dari timur iaitu masing-masing Kelantan, Terengganu dan Pahang.-BH Online