Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Memantapkan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab dalam industri halal global, merupakan antara fokus utama lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun bermula Sabtu.

Lawatan kerja tujuh hari sehingga 23 Februari ini, yang merupakan kunjungan sulung Ahmad Zahid ke Jepun sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pada Disember 2022, jelas mencerminkan keutamaan Malaysia dalam kedua-dua bidang berkenaan yang mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Anwar Udzir berkata menerusi lawatan tersebut, taraf latihan dalam bidang teknikal dan vokasional negara dijangka dapat dipertingkatkan.

“Lawatan itu juga dijangka memberi banyak peluang kepada syarikat Malaysia yang berminat untuk menceburi dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat di sini dalam industri halal di Jepun,” katanya, sambil menjelaskan bahawa pemahaman mengenai sektor halal di negara berkenaan, masih boleh dikembangkan.

Pada masa yang sama, beliau berkata Ahmad Zahid yang dijadual tiba di sini Sabtu malam, dijangka menghadiri beberapa acara semasa lawatan kerja tersebut ke Tokyo dan Osaka.

Pada Ahad, Anwar berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan bertemu dengan penuntut dan diaspora Malaysia yang berada di ‘negara matahari terbit’ itu, dalam majlis ramah mesra.

Semasa lawatan kerja itu, Ahmad Zahid juga akan dianugerahkan Ijazah Kehormat dari Institut Teknologi Shibaura (SIT), Tokyo sebagai pengiktirafan sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun dan usaha dalam memartabatkan TVET.

Ahmad Zahid juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masahito Moriyama.-Sinar Harian