Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Raja-Raja memberi perkenan supaya Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan dibentuk bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata jawatankuasa itu dibentuk bertujuan untuk melihat dan memantau isu berlaku di Mahkamah Syariah sepanjang masa.

Beliau berkata, nama-nama ahli jawatankuasa itu, yang antaranya akan dianggotai ketua hakim syariah negeri, telah dipersembah dan menunggu perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan ini telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat lalu.

“Pembentukan jawatankuasa ini kekal berbanding Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas), yang itu ad hoc (ia dibentuk atas) titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengenai jawatankuasa khas dipengerusikan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi, Na’im berkata ia bersidang lapan kali antara Disember lalu hingga bulan ini.

“Tuanku Selangor selaku pengerusi MKI dah beri tempoh setahun untuk mereka sediakan syor-syor.

“Tempoh setahun tu sebab terma rujukan jawatankuasa khas ini ia bukan sahaja merujuk kepada kes Iki Putra Mubarak dan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, tetapi untuk melihat secara luas bagaimana Mahkamah Syariah, institusi kehakiman syariah ini, boleh terus dimartabat, dilindungi dan seterusnya diperkasa,” katanya.

Na’im dalam pada itu berkata, pihaknya mencadangkan supaya Jabatan Penguatkuasaan Syariah diwujudkan di setiap negeri dalam usaha memperkasakan lagi undang-undang syariah.

Beliau berkata, buat masa ini Jabatan Agama Islam negeri hanya mempunyai bahagian penguatkuasaan dan bukan sebagai sebuah jabatan.

“Sebagai contoh di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), dahulu ada bahagian pendakwaan syariah dan sekarang bahagian itu sudah menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah, namun bahagian penguatkuasaan masih di bawah Jawi.

“Jadi untuk memastikan supaya bahagian penguatkuasaan ini boleh bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi secara eksekutif untuk melakukan siasatan dan tangkapan, maka ada keperluan untuk menjadikannya sebagai sebuah jabatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan itu hanya akan dipertimbangkan secara serius selepas negeri-negeri mewujudkan satu jabatan pendakwaan syarie yang berasingan.

“Sekarang kebanyakan di negeri-negeri, masih lagi bahagian penguatkuasaannya berada bawah Jabatan Agama Islam.

“Kami nak pastikan semua negeri-negeri mewujudkan Jabatan Pendakwaan Syarie terlebih dahulu, kemudian kami akan bincang (mewujudkan jabatan penguatkuasaan),” katanya.-FMT