Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perbincangan antara Ahli Parlimen beragama Islam mengenai langkah memperkasakan undang-undang syariah boleh dilaksanakan, namun ia tidak boleh dijadikan bahan politik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 Jumaat lalu, adalah merujuk peruntukan perundangan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan tiada hubung kait dengan Mahkamah Syariah.

“Soal perbincangan boleh diadakan, tetapi kita mesti sama-sama menelaah mengenai soal penyatuan fikrah dan tidak jadikan politik sebagai garis utama.

“Selepas ‘terhantuk ke dinding’, baru menyebut mengenai mahu memanggil seluruh orang Islam untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu,” katanya selepas mengadakan Kunjungan Kasih Sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelawaan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang mengajak semua pihak, terutama Ahli Parlimen beragama Islam untuk bergabung demi memperjuangkan undang-undang syariah.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO juga mendakwa, PAS sebenarnya tahu keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu bersesuaian dengan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Soal ini soal besar, namun kita berasakan soal perundangan apatah lagi membabitkan perundangan syariah ia tidak harus menjadi isu politik sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Ia bukan soal yang terkait dengan peruntukan dalam undang-undang syariah di mana-mana negeri sekali pun.

“Sepatutnya perkara ini sudah dibangkitkan pada 2021 ketika kerajaan terdahulu memerintah dan di Kelantan masih lagi kerajaan yang sama,” katanya.

Ditanya sama ada Kabinet akan mengadakan mesyuarat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Ahmad Zahid berkata, setakat ini perkara berkenaan belum dibangkitkan dalam Jemaah Menteri.

“Kabinet sebagaimana Perdana Menteri sebut tidak pernah pun membincangkan soal ini kerana ia soal perundangan, secara khususnya perkara yang mengaitkan beberapa fasal dalam Perlembagaan dan tentunya kita berasakan Mahkamah Persekutuan lebih bijaksana dalam menangani perkara ini.

“Ini bukan soal pentadbiran oleh mana-mana kerajaan di peringkat Pusat,” katanya.-BH Online