Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Rakyat Sarawak perlu menjadikan semangat ‘tahun naga’ untuk menjadikan Sarawak terus cemerlang pada 2024. 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata tahun ini memperlihatkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang dengan Sarawak berada di landasan tepat bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Ini kerana katanya, Sarawak mempunyai kekuatan hasil kestabilan politik dan kesepaduan sosial yang membolehkan Kerajaan Sarawak merancang serta melaksanakan projek berimpak tinggi termasuk pengambilalihan beberapa entiti.

“Terdapat tiga perkara utama yang menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak dalam melangkah ke tahun 2024, iaitu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, mempunyai syarikat penerbangan sendiri dan mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan.

“Kita ingin mengambil semula Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, ini bukan sahaja kerana ia sepatutnya berada di bawah kuasa Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan tetapi juga kerana Sarawak perlu merancang secara menyeluruh pembangunan pelabuhannya yang merangkumi keseluruhan negeri termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2024. 

Abang Johari berkata, perkara kedua yang menjadi fokus kerajaan Sarawak ialah menetapkan matlamat untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri. 

“Syarikat penerbangan itu bukan sahaja untuk menyediakan laluan ke destinasi terpilih di rantau Asia tetapi ia juga sebagai pelaburan dalam mewujudkan hubungan udara antara Sarawak dan seluruh wilayah bagi meningkatkan perniagaan dan pelaburan di negeri ini.

“Perkara ketiga yang kita fokuskan ialah mahu mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan untuk menyediakan Sarawak platform kewangan bagi meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan PKS dan keusahawanan,” katanya. 

Dalam usaha memacu Sarawak sebagai sebuah negeri maju, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada potensi tenaga suria dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. 

Menurutnya, persekitaran progresif pembangunan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini cukup jelas apabila pelabur, tokoh korporat, bank dan duta luar menyatakan minat mereka untuk bekerjasama dengan Sarawak. 

“Tahun lalu adalah tahun yang baik apabila kita mencapai beberapa perkara yang dirancang, terutamanya penubuhan Dana Kekayaan Negara dan Masa Depan Sarawak (SSWF) dengan modal permulaan RM8 bilion dan peruntukan tahunan progresif antara RM400 juta hingga RM600 juta sehingga 2034 daripada kerajaan Sarawak. 

“Sarawak juga mempunyai simpanan yang kukuh dan pendapatan terus meningkat setiap tahun dengan pada tahun 2023 kita merekodkan hasil sebanyak RM13.3 bilion,” katanya.-BH Online