Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini mengumumkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak ditetapkan pada kadar RM1, 300 per tan metrik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penetapan harga lantai padi tersebut akan berkuat kuasa pada 15 Februari ini sebagai usaha bersama untuk menjamin sekuriti makanan negara.

“Langkah penyeragaman harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung ini selaras hasrat kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

“Ini juga mampu menyokong industri padi dan beras di Sarawak dan Sabah supaya terus kekal mampan serta berdaya saing,” katanya berucap pada program Gelombang Padi Negeri Sarawak di Stumbin hari ini.

Tambahnya, kenaikan harga lantai belian padi ini berupaya membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan pesawah meningkatkan pengeluaran padi

Menurut beliau, pada ketika ini, Kedah merupakan pengeluar beras utama negara iaitu 36.6 peratus disusuli Kelantan 11.9 peratus, Perak 11.8 peratus, Perlis 10.2 peratus dan lain-lain negeri 29.5 peratus.

Manakala sumbangan negeri Sarawak adalah 6.5 peratus.

Pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak adalah ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa dengan harga minimum RM750 per tan metrik dan pemutuan padi secara tawaran diantara 14 peratus hingga 16 peratus.

“Kementerian sentiasa menyokong aspirasi dan usaha kerajaan Sarawak untuk memodenkan sektor pertanian bagi pengeluaran padi yang tinggi untuk pasaran tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

“Demi negara, kita sama-sama, laksana ‘Gelombang Padi’,” katanya.

Penetapan harga lantai belian padi hanya melibatkan beras putih sahaja dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di kedua-dua negeri

Pada majlis tersebut, Mohamad Sabu turut menyalurkan pakej bantuan mekanisasi kepada syarikat-syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Bersekala Besar (SBB) di Tanjung Bijat dan Koperasi Pertanian Sri Aman Berhad bernilai RM810,000.00.

Sumbangan itu bagi menggalakkan penanaman padi dengan penggunaan teknologi moden.-Berita RTM