Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim, bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menghadiri Mesyuarat Khas MKT di sini, hari ini, bagi membincangkan pengumuman semalam berhubung pengurangan hukuman dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO akan menganjurkan kempen mengumpul tandatangan ahlinya di seluruh negara dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh diraja untuk Najib.

“Kita (Ahli MKT UMNO) menjunjung kasih keputusan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Lembaga Pengampunan.

“Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh, dan UMNO akan berusaha mengumpulkan tandatangan di seluruh negara untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Ke-17 supaya mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja kepada Najib,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Khas MKT di ibu pejabat UMNO.

Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.-BH Online