Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah mengeluarkan Surat Arahan Henti Tugas di tapak lombong Bukit Perangin, dekat Kubang Pasu pada Khamis lalu berikutan kes kemalangan maut yang berlaku di kawasan itu sebelum ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan awal berhubung kes kemalangan maut yang membabitkan seorang pekerja asing di tapak lombong itu mendapati kawasan muka lombong berada dalam keadaan tidak stabil dan mempunyai risiko runtuhan susulan.

“Hasil siasatan awal dijalankan JMG mendapati, pihak lombong meletakkan tali penghadang sebagai langkah kawalan keselamatan bagi mengelakkan kawasan kejadian daripada diceroboh masuk.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan sekitar mendapati tiada sebarang papan tanda keselamatan atau peringatan diletakkan berhampiran kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakaman saksi utama kejadian memaklumkan pekerja mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan supaya menjalankan kerja di kawasan yang ditetapkan.

Nik Nazmi berkata, lawatan susulan menggunakan dron mendapati terdapat banyak retakan pada struktur batuan yang boleh menyebabkan runtuhan dan kawasan kerja masih dikategorikan sebagai tidak selamat.

“Segala kerja dalam lombong diarah untuk dihentikan merujuk kepada Seksyen 21(2) Akta Pembangunan Mineral 1994 dan arahan juga dikeluarkan supaya semua akses masuk ke kawasan kejadian ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, pemegang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) diarah mengemukakan laporan lengkap kemalangan maut, kajian semula pelan pengurusan keselamatan dan laporan penilaian kestabilan cerun dan mitigasi untuk pertimbangan lanjut JMG dan kementerian. – Bernama