Semua pihak terutama pemilik gedung perniagaan menggandakan kesedaran tentang ciri-ciri keselamatan di premis masing-masing menjelang Tahun Baharu Cina tahun ini.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata tahun lalu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima kira-kira 35,000 panggilan kecemasan.
“Tahun lepas adalah tahun yang mencabar, khususnya pasukan JBPM dalam menerima hampir 35,000 panggilan kebakaran. Dan anggaran daripada kerugian kebakaran adalah dianggarkan lebih kurang RM2.6 bilion. Ini adalah satu jumlah yang amat membimbangkan. Oleh kerana itu kita tidak boleh lalai. Tak boleh leka. Sentiasa perlu ada dalam keadaan siap siaga,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Sempena Tahun Baru Cina 2024 JBPM di Berjaya Times Square di sini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad.
Sempena pelancaran kempen itu, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama JBPM mengagihkan alat pemadam api kepada Pasukan Bomba Komuniti, Emergency Response Team (ERT) dan Pasukan Bomba Sukarela serta pengguna-pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata JBPM akan menerima dua lagi unit helikopter jenis Agusta AW139 dalam masa terdekat.
Katanya, Unit Udara JBPM bakal memiliki 10 unit helikopter menjelang tahun 2025.
“Ini adalah satu rekod jumlah tertinggi di mana pasukan bomba tidak pernah memiliki 10 buah helikopter. Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong dan juga berdiri teguh bersama pasukan bomba kita supaya hampir 14,500 orang anggota bomba di seluruh 337 buah balai bomba sentiasa komited dan bersiap siaga. Kita KPKT akan menjadi tulang belakang kepada JBPM dalam memberikan sokongan padu kepada pasukan ini demi rakyat dan negara,” kata Kor Ming.-Berita RTM